RSS

Monthly Archives: April 2012

MEMBENTUK PELAJAR CEMERLANG

Pengenalan

Mengurus manusia adalah proses yang panjang dan kompleks. Ia menjadi kompleks kerana yang dididik itu ialah manusia. Manusia mempunyai akal fikiran dan perasaan untuk berfikir dan bertindak. Kadang kala manusia bertindak di luar batasan, boleh berubah sikap, perilaku dan pandangan hidup pada jangka masa yang sukar diramalkan. Begitu juga halnya di sekolah. Di sekolah, sungguhpun ada peraturan bagi menangani salah laku, tetapi gejala ini masih merupakan perkara yang sukar dibanteras. Justeru yang dididik itu insan, yang digilap itu intan, maka guru perlu membantunya dengan penuh keikhlasan dan membentuk salah laku dengan penuh nilai kemanusiaan.

Mengurus tingkah laku terpuji adalah salah satu cara bagi memperkasakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk membentuk para pelajar selari dengan kehendak agama, norma-norma masyarakat dan undang-undang negara. Namun, membentuk tingkah laku yang terpuji tidak mudah diterima oleh golongan pelajar lebih-lebih lagi dipengaruhi pelbagai unsur lain dalam perkembangan tingkah laku mereka.

Mengurus Tingkah Laku Pelajar

Mengurus adalah satu alat yang penting bagi mengawal kelakuan dan sikap pelajar. Apabila guru bijak menguruskan pelajar, mereka mampu menjadi pelajar yang berdisiplin, patuh pada peraturan dan undang-undang. Mengurus tingkah laku ialah cara mengawal pelajar secara berhemah dan berkesan daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan. Mengurus tingkah laku pelajar dari aspek kemanusiaan menekankan kepada proses membina insan, melatih dan membimbing pelajar supaya menjadi lebih bertanggungjawab tanpa mengenakan paksaan.

Mengurus tingkah laku pelajar dari aspek kemanusiaan ialah mengurus tingkah laku pelajar menjadi insan, melatih dan membimbing agar menjadi lebih bertanggungjawab. Iaitu dengan memberi penekanan kepada ciri komunikasi sisian dan memberi kesempatan pelajar membuat keputusan. Pertimbangan utama aspek kemanusiaan ini ialah pertimbangan kemanusiaan, keadilan, penglibatan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Oleh itu bagi mencapai tujuan ini, guru perlu lebih bersedia membimbing, membangunkan dan menggalakkan penglibatan apabila berurusan dengan pelajar.

Penyerapan modal insan yang ditekankan oleh kerajaan dianggap sebagai pengimbang dan penggenap kemakmuran sekolah. Mengurus tingkah laku pelajar yang membelakangkan nilai-nilai kemanusiaan menjadikan sekolah berjiwa kosong atau tanpa ’roh’. Ini disebabkan hilangnya pertimbangan budi bicara dan kebijaksanaan berikutan kecelaruan dalam jiwa guru yang hanya berperanan memastikan kecekapan dan keberkesanan peraturan.

Mengurus tingkah laku pelajar dari aspek kemanusiaan sememangnya memainkan peranan penting dalam usaha membina keyakinan, jati diri, membuka ruang kreativiti dan inovasi, memberi ruang kepada pelajar meneroka potensi diri dan menyedarkan pelajar baik dan buruk tingkah laku yang diamalkan.

Oleh itu , guru perlu bersedia membuat penilaian kendiri sama ada setiap tindakan dan keputusan yang diambilnya dalam mengurus tingkah laku pelajar dapat meningkatkan martabat dan nilai kemanusiaan. Justeru sudah sampai masanya para guru melakukan perubahan dengan bertindak secara seimbang dalam mengurus tingkah laku pelajar dari aspek kemanusiaan dan bukan kemanusiaan.

 
Tinggalkan komen

Posted by di April 18, 2012 in 1